Selepas lebih dua bulan pelbagai jenis
kereta sudah dipaparkan di dalam blog ini. Ada kereta
kompak, hibrid, SUV dan paling menarik model yang mungkin dipasarkan di
dalam negara seperti Honda Civic, Kia Picanto dan sebagainya. Walau
bagaimanapun kereta berprestasi tinggi masih belum saya tulis, bukan
apa, kereta sebegini hanya segelintir sahaja yang mampu memilikinya. Era
kereta berprestasi massa seperti Toyota Corolla AE86, Nissan March
Superturbo dan Ford TX3 nampaknya sudah luput ditelan sejarah, yang ada
kebanyakannya sudah memasuki pasaran premium hingga orang kebanyakan
hanya mampu melihat dan mengidamkannya. Masakan tidak, sebuah kereta
berprestasi sudah menyamai atau melebihi sebuah rumah teres atau banglo
di kampung, lebih logik jika dilaburkan untuk aset yang menguntungkan
tanpa susut nilai. Walaupun begitu apa salahnya kita mengagumi dan
mengambil tahu serba sedikit tentang kemanisan dunia ini, habis tidak
pun boleh dibuat modal bersembang dengan rakan-rakan. Orang kata biar
sembang kencang tapi ada isi.
Saya tidak pasti apakah memori umum
orang kita mengenai Nissan. Orang lama mungkin mengaitkannya dengan
model Sunny atau Sentra teksi Genting, orang muda pula pasti terimbas
akan kehebatan model Cefiro di dalam sukan drift atau pun buat orang
berkeluarga mereka akan teringatkan model Grand Livina. Apa pun Nissan
menghantar mesej yang jelas dengan kehadiran sebuah model ini, apa lagi
jika bukan
Nissan GT-R. Kereta agung daripada pengeluar kereta Jepun
yang mencabar ego-ego pengeluar kereta berprestasi barat seperti
Porsche, Ferrari dan Aston Martin yang masing-masing mewakili Jerman,
Itali dan Britain. Jepun mampu menawarkan kereta yang hebat hanya pada
setengah harga atau kurang daripada pengeluar kereta barat. Itu adalah
taktik lama mereka yang kini diulangi oleh pengeluar kereta Korea. GT-R
atau nama asalnya Skyline bukan lahir dalam tempoh dua atau tiga tahun,
warisannya bermula berpuluh tahun lepas dengan model pertama dikeluarkan
oleh Prince Motor Company pada tahun 1957 sebelum mereka bergabung
dengan Nissan pada tahun 1966.
Maju laju [fast forward] pada tahun
2007, Nissan memperkenalkan GT-R dengan menggugurkan nama Skyline dan
model terbaru ini telah banyak menaikkan nama Nissan. Siapa sangka
pengeluar kereta massa seperti Latio, Sentra, Grand Livina boleh
menghasilkan kereta yang canggih sebegini seterusnya menarik perhatian
para tauke-tauke untuk memilikinya. Masuk tahun 2011 model wajah baru
[facelift] dibangunkan berdasarkan tema ‘World’s best multi-performance
and pleasure of responsive driving’. Ciri luarannya lebih kuat dan
stabil dan digabungkan dengan kemaskini lain bagi menyumbang aerodinamik
yang lebih baik.
Downforce GT-R berjaya dikurangkan
manakala pekali seret pula turun daripada 0.27 kepada 0.26. Kestabilan
kereta pula diperbaiki dengan bampar dan bukaan gril yang lebih besar
dengan efek tiga dimensi yang dipertingkatkan. Bampar depan telah direka
semula dengan tambahan sisip berkembar yang menyumbang kepada downforce
10% lebih baik sementara mengurangkan rintangan angin di dalam ruang
enjin, serta meningkatkan aliran udara melalui radiator untuk
menyejukkan brek depan. Kedua-dua sisi bampar pula dipasangkan lampu LED
siang hari yang kini merupakan aksesori ‘wajib’ kereta pasaran Eropah.
Bampar belakang turut tidak terkecuali menerima pembedahan kosmetik
dengan titik tengah graviti yang rendah serta hujung yang dipanjangkan.
Dengan pemanjangan peresap belakang [diffuser], penyejukan bahagian
bawah lantai lebih baik selain daripada rintangan angin berjaya
dikurangkan. Penyejukan penyenyap ekzos pula diperbaiki manakala
downforce belakang berjaya ditingkatkan sebanyak 10% melalui penggunaan
outlet bampar belakang yang menyingkirkan udara pada ruang tayar
belakang. Lampu kabus LED berdensiti tinggi pula dipasang bersekali
dengan peresap belakang.
Daripada segi mekanikal, output enjin
GT-R dipertingkatkan kepada 530ps pada 6,400 rpm dan tork maksimum 612
Nm dari 3,200 hingga 6,000 rpm. Penutup enjin diwarnakan merah untuk
mengilustrasikan penambahan prestasi. Paling menarik enjin ini lebih
jimat minyak yang dicapai melalui modifikasi pada tekanan galak [boost]
pengecas turbo, pemasaan injap, nisbah campuran udara dengan diameter
paip inlet lebih besar dan sistem ekzos. Nissan turut menyemak semula
seleksi pemanduan dengan menggantikan Snow Mode dengan Save Mode yang
mengoptimumkan tork pemanduan dan mengubah jadual penukaran gear untuk
penggunaan minyak yang lebih ekonomikal apabila memandu di jalan lurus
dan terbuka. Walaupun Snow Mode diganti tetapi ciri-ciri asalnya masih
lagi dikekalkan. R Mode pula digunakan untuk memecut kereta dari pegun
dan akan berfungsi apabila brek ditekan dengan gear dianjakkan, pedal
minyak ditekan dengan penuh dan brek dilepas dengan cepat. Dalam keadaan
ini, suhu minyak akan diawasi secara automatik bagi memastikan
ketahanan serta mengelak suhu meningkat melebihi paras ditetapkan. Bagi
mengambil selekoh sempit pada kelajuan rendah, 2-Wheel Drive Mode akan
menukar kereta kepada pacuan dua roda pada kelajuan di bawah 9.6km/j
dengan kedudukan stereng dipusing separuh.
Perubahan lain yang dibuat ialah
menambah topang sokongan [supporting bar] untuk menguatkan lagi casis
serta brek dan suspensi yang dirombak semula. Gabungan tayar dan roda
turut ditukar dengan tayar baru iaitu Dunlop SP Sport Maxx GT 600 DSST
CTT dan roda aluminium tempa [forged] jenama Rays. Penutup artikel kali
ini tiada falsafah atau analogi yang boleh saya tulis seperti biasa
kerana jujurnya mata saya berpinar menulis kereta-kereta mahal, terasa
hebat sungguh. Apa pun
GT-R tidaklah mahal mana, di UK harganya ialah
GBP69,950. Tidak mahal jika dibandingkan dengan kereta berprestasi
tinggi lain yang mencecah jutaan ringgit. Sebuah Ferrari mungkin
bersamaan dengan dua buah GT-R!